147 PELAJAR SK SERI MANIS MENERIMA BANTUAN KEWANGAN

Zakaria (tengah) merasmikan Bilik Skim Pinjaman Buku Teks SK Seri Manis baru-baru ini

SANDAKAN: Seramai 147 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manis Sandakan menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan E-Kasih.

Daripada jumlah itu, 143 pelajar menerima bantuan KWAMP manakala 4 lagi menerima bantuan E-Kasih.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Libaran, Datuk Hj Zakaria Hj Mohd Edris dalam satu majlis penyampaian di teratak mini SK Seri Manis baru-baru ini.

Hadir pada program itu Guru Besar SK Seri Manis, Bistari Asoi dan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Manis, Hj Abbas Labasa, Ketua SriKandi Bahagian Libaran Anabel Perian dan ibu bapa serta penjaga pelajar.

Terdahulu berucap,  Zakaria berkata, pembangunan pendidikan di kawasan Libaran antara agenda penting yang akan terus menjadi keutamaan beliau bagi menjamin dan memajukan kecemerlangan rakyat keseluruhannya melalui pendidikan.

Katanya, ini kerana pendidikan adalah satu mekanisme penting untuk pembangunan insan dan Negara terutama di kawasan libaran.

Sehubungan itu, beliau telah mengadakan lawatan ke Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan untuk mengetahui keperluan pembangunan pendidikan dan kekurangan yang dihadapi sekolah-sekolah di kawasan Libaran untuk diusulkan kepada kerajaan melalui parlimen untuk tindakan sewajarnya.

Mengenai bantuan KWAMP itu, Zakaria berkata, ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap beban dipikul oleh ibu bapa pada setiap kali menjelang sesi persekolahan setiap tahun selain memastikan agar pelajar-pelajar miskin tidak tercicir dalam meneruskan persekolahan.

Pada masa sama katanya, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha membantu untuk meningkatkan pendidikan dalam kalangan pelajar khuhusnya pelajar di luar Bandar dengan menyalurkan pelbagai bantuan melalui sekolah.

Justeru beliau berharap agar ibu bapa   memanfaatkan bantuan itu sebaiknya untuk melengkapkan keperluan pembelajaran anak masing-masing.

Sejurus majlis itu, Zakaria telah merasmikan Bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) SK Seri Manis dan melawat persekitaran sekolah terutamanya kerosakan bumbung di sekolah tersebut.