Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menjalankan kajian harga simen yang dijual di pasaran dari semasa ke semasa agar harga simen yang dikeluarkan oleh CIS tidak mengakibatkan kesan ketara terutama keatas industri pembinaan termasuk perumahan kos rendah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pada dasarnya, harga simen sangat bergantung kepada kos pengeluaran yang merangkumi kos bahan mentah, pengangkutan kapal, logistik dan sebagainya, disamping kuantiti keluaran yang rendah di Sabah.
Katanya, pada ketika ini, CIS perlu mengimport klinker iaitu bahan mentah utama dalam pembuatan simen daripada Semananjung Malaysia dan luar negara.
“Ini adalah kerana CIS tidak mengeluarkan klinker dan hanya memproses klinker menjadi simen, tidak seperti para pengeluar simen di Semananjung Malaysia yang merupakan syarikat pengeluar simen bersepadu.
Oleh yang demikian struktur kos pengeluaran CIS adalah berbeza berbanding dengan pengeluaran di Semananjung Malaysia atas faktor-faktor bahan mentah, pengangkutan kapal dan logistik.
Justeru, harga jualan simen di Sabah tidak selaras dengan harga jualan di Semenanjung,” katanya menjawab pertanyaan Robert Tawik (PBS-Bingkor) pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin.
Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, harga simen di Semenanjung lebih murah berbanding harga simen di Sabah disebabkan faktor lebihan kapasiti penawaran yang besar.
Katanya, walapupun harga jualan simen di Sabah lebih tinggi berbanding harga di Semenanjung pada masa ini, ia adalah munasabah.
Katanya, bagi tempoh lebih 10 tahun kebelakangan ini, harga jualan simen di Sabah tidak naik walaupun terdapat kenaikan ketara dalam kos bahan mentah disebabkan oleh kejatuhan mata wang ringgt.
“Malahan CIS telah menurunkan harga simen sebanyak 6.0 peratus bagi pasaran Pantai Timur Sabah apabila Terminal Pukal mula beroperasi di Pelabuhan Lahad datu pada awal tahun 2009,” katanya.
Katanya, penurunan harga ini dapat dibuat melalui penjimatan kos pengendalian dan pengangkutan simen dari kilang simen di Teluk Sepanggar melalui kapal setelah terminal simen tersebut beroperasi dan hasil penjimatan kos telah dinikmati oleh para pengguna melalui penurunan harga,” katanya.
Pada masa ini, katanya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO dan CIS sedang merancang untuk membina sebuah kilang klinker di Sabah sebagai usaha untuk mengurangkan kos klinker dan memastikan bekalan klinker yang mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya.

More Stories
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal