Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2019 yang memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM 337, 423, 659.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM 243, 720, 537 diperlukan bagi tujuan pelarasan akaun untuk mematuhi peraturan perakaunan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM131, 720, 537 adalah diperlukan bagi menyelesaikan akaun pendahuluan diri.
Manakala, RM 112,000,000 adalah untuk tujuan caruman kepada kumpulan wang berkanun negeri.
“Ini bermakna hanya RM93, 703, 122 sahaja yang sebenarnya melibatkan pengaliran wang tunai dalam anggaran perbekalan tambahan pertama 2019.
“Jumlah ini adalah meliputi sejumlah 27.8 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan anggaran perbekalan tambahan berkenaan,” katanya ketika membentangkan syor ke atas Permohonan Peruntukan Tambahan (ASP) 2019 pada hari pertama Persidangan DUN Sabah, disini pada Isnin.
Shafie berkata, peruntukan tambahan terbesar yang melibatkan aliran wang tunai dalam anggaran perbekalan tambahan pertama 2019 sebanyak RM24, 152, 856 disyorkan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan sistem perparitan utama dan kerja-kerja pengairan serta saliran di seluruh Sabah.
Katanya, sejumlah RM16, 420, 830 digunakan bagi menampung keperluan di bawah vot perkhidmatan am perbendaharaan di bawah Kementerian Kewangan Sabah meliputi perbelanjaan rawatan perubatan kepada anggota perkhidmatan awam, pembaikan kemudahan, bayaran pemberian dalam negeri, bayaran penyewaan kenderaan swasta, dan membiayai pembelian kenderaan kerajaan
.”Selain itu, sejumlah RM8 juta pula disyorkan untuk bayaran pemberian kepada lembaga perhutanan, tabung rayuan derma-derma bencana alam, perbelanjaan sambutan hari kebesaran negeri, pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta Majlis Sukan Negeri Sabah.
“Sejumlah RM2.5 juta pula disyorkan untuk tujuan membaik pulih sistem pembentungan.
Jumlah selebihnya RM42, 629, 436 adalah untuk membiayai perbelanjaan emolumen seperti tunggakan gaji, elaun lebih masa, gantian cuti rehat dan perbelanjaan pentadbiran pejabat,” katanya.
Shafie, yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM 39, 757, 643 peruntukan tambahan diperlukan melibatkan 32 vot dibawah 10 buah kementerian.
Katanya, RM33, 892, 013 ditampung dibawah kumpulan wang negeri dan RM2, 424, 630 di bawah pinjaman persekutuan.
Baki sebanyak RM3, 441, 000 adalah digunakan untuk pembiayaan bayaran balik persekutuan.
“Daripada RM33, 892, 013, sebanyak RM1, 876, 280 diperlukan untuk pembayaran ke atas projek-projek yang telah dilaksanakan pada tahun lepas tetapi tidak sempat dibayar dalam tahun kewangan 2018.
“Antaranya adalah sebanyak RM1,481,260 untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM231, 860), dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (RM163, 160),” katanya.
Sementara itu katanya, sebanyak RM2,424,630 disediakan untuk menyelaraskan pinjaman daripada kerajaan persekutuan bagi menampung tuntutan perbelanjaan tahun 2018 dan keperluan 2019 bgi projek pembangunan tanah komuniti lembaga kemajuan tanah negeri Sabah.
Manakala katanya, sejumlah RM3,441,000 diperuntukkan di bawah komponen bayaran balik persekutuan, peruntukan itu adalah bagi membolehkan penyelarasan pembayaran bagi projek imbuh balik di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ