POLIS SEDANG MENGESAN LELAKI YANG DISYAKI MEROGOL ANAK ANGKATNYA

Polis Lahad Datu sedang mengesan lelaki ini yang disyaki telah merogol anak angkatnya
Oleh : Faizal Rahman

LAHAD DATU: Polis disini sedang mengesan seorang lelaki yang berumur 50an tahun yang disyaki telah merogol anak angkat perempuannya.

Mangsa hanya berumur 12 tahun semasa dia dan dua lagi adiknya dijaga oleh saspek selepas ibubapa mereka bercerai pada 2004, kata Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor.

Saspek didakwa telah merogol mangsa banyak kali di tiga lokasi berasingan antara tahun 2004 hingga Disember 2018. Saspek juga dikatakan telah ugut untuk membunuh mangsa sekeluarga jika mangsa menceritakan kejadian kepada sesiapa, kata Nasri.

Pada Disember tahun lepas, mangsa yang kini berumur 27 tahun, tidak boleh bertahan dengan perbuatan saspek, lalu keluar daripada rumah tersebut dan tinggal bersama dengan ibunya sebelum bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Julai 28 lalu, tambah Nasri.

Menurut Nasri,  mangsa telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut ekoran laporan polis berkenaan.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” kata beliau.

Nasri meminta kerjasama orang ramai yang ada melihat saspek yang dikenali sebagai Mohd Insang agar menghubungi polis dengan segera.