AKAN DITELITI LEBIH LANJUT …cadangan pembangunan kawasan perindustrian di Kg Kilugus, Kuala Penyu

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan pembangunan kawasan perindustrian di kawasan tanah Kg Kilugus, Kuala Penyu pada tahun 2005 dan dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (RMKe9) 2006-2010.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kawasan seluas 300 ekar dalam kawasan simpanan padang ragut di Kg Kilugus telah dikenalpasti sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian.

“Kawasan tersebut sangat sesuai kerana lokasi berhampiran dengan kawasan gula Sabah, geografi kawasan yang tidak memerlukan kos-kos pemotongan tanah yang tinggi, terletak di pertengahan Kuala Penyu dengan Menumbuk serta berhampiran dengan kemudahan asas seperti jalanraya, letrik, air dan telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Selasa.

Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, pembangunan kawasan itu dijangka akan menelan belanja pembangunan kira-kira RM 60 juta dengan sasaran industri utama adalah pemerosesan sumber-sumber atau bahan-bahan mentah terutama sumber gula yang terdapat di kawasan sekitar.

Katanya, objektif utama untuk mensasarkan pengeluaran produk bernilai tambah adalah selain memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berkecimpung dalam industri pembuatan tetapi juga untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di sekitar Kuala Penyu.

Bagai manapun, katanya permohonan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri bernilai kira-kira RM 60 juta tidak dipertimbangkan di bawah RMKe9.

Katanya, cadangan pembangunan itu akan diteliti dengan lebih lanjut selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangun kawasan-kawasan di luar bandar.

“Ianya juga sejajar dengan dasar kerajaan untuk membangun sektor pembuatan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang disasarkan untuk menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product daripada 7.2 peratus kepada 35 peratus menjelang tahun 2035,” katanya.

Madius berkata, dalam usaha membangun sesebuah kawasan perindustrian, banyak faktor yang perlu diambilkira.

Menurutnya, dari beberapa lawatan yang telah diadakan oleh Kementeriannya, adalah didapati bahawa negeri-negeri yang mengalami kadar pembangunan yang pesat seperti Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

“Jentera pembangunan mereka amat fokus dan menjurus ke arah pencapaian objektif yang sama.

Peruntukan sumber-sumber terutama sumber kewangan adalah dikendalikan secara terfokus dimana sumber kewangan tersebut akan menyumbang secara langsung kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu program atau projek pembangunan.

Contohnya, penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya, sistem perparitan, sistem pembentung najis, sistem bekalan air, bekalan tenaga eletrik dan lain-lain kemudahan logistik termasuk pelabuhan yang menyokong pertumbuhan aktiviti sektor pembuatan adalah dirancang “in-tandem” dengan cadangan pembangunan kawasan tersebut sebagai kawasan perindustrian,” katanya.