Peter (tengah), Dr Ismail (2 dari kanan), Norzawiyah (3 dari kiri) dan Yassin (3 dari kanan) bersama jawatankuas penganjur menunjukkan poster promosi Sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Majlis pelancaran Sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019 akan diadakan di Ranau pada 9 Ogos, 2019.
Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal, di Padang Pekan Ranau, jam 2.00 petang.
Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, tahun lepas majlis pelancaran itu diadakan di Penampang, dan tahun ini ia diadakan di Daerah Ranau.
“Jika tahun lepas kita memilih Daerah Penampang sebagai tempat pelancaran, pada tahun ini kita memberi peluang kepada Daerah Ranau menjadi ‘tuan rumah’ untuk Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019. I
Ini kerana, tahun 2019 adalah Tahun Melawat Ranau selain daerah ini menjadi destinasi pelancongan utama di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019, di Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Rabu.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) Dr. Ismail S. Charles, Pengarah Penerangan Sabah Norzawiyah Bulka dan Pegawai Daerah Ranau Mohd Yassin Ibrahim.
Peter, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah berkata, majlis pelancaran tahun ini ada kelainan sedikit, dimana para pengunjung akan diberikan sayur kubis secara percuma.
“Ini adalah kerana Daerah Ranau terkenal sebagai pengeluar utama sayur kubis selain bertujuan untuk mempromosi Daerah Ranau sempena Tahun Melawat Ranau 2019,’ katanya.
Beliau juga mengumunkan bahawa acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens pada 31 Ogos 2019.
Katanya, pelbagai acara sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2019 akan diadakan untuk menggelorakan semangat cintakan negara dan patriotisme di kalangan masyarakat.
Katanya, antara program yang dianjurkan adalah konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia , yang akan bermula di Daerah Ranau pada 9 Ogos 2019 dan akan berakhir pada 31 Ogos 2019, di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.
Katanya, selain konvoi KMJG, Jabatan Penerangan Malaysia juga telah merancang pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan seperti Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pengisahan Kenegaraan, Merdeka @ Komuniti, Apa Kata Anak Malaysia, Anugerah Keceriaan Bulan Kebangsaan dan Karnival Merdeka @ Wisma Dang Bandang.
“Program ini diadakan tidak lain dan tidak bukan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara di kalangan masyarakat khususnya di Sabah,” katanya.
Peter berkata, selain program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, program seperti Doa Sayangi Malaysiaku oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Majlis Tahlil dan Doa Selamat oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (Jheins), Jamuan Bersama Media anjuran KPI dengan kerjasama Jabatan Penerangan juga akan diadakan sempena Bulan Kebangsaan ini.
Beliau berkata, kerajaan telah memutuskan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini sebagai `Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.
“Signifikan pemilihan tema ini adalah bagi menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Peter menyeru agar semua golongan masyarakat dapat tampil secara kreatif mempelbagaikan lagi sambutan acara Bulan Kebangsaan secara sukarela bagi meraikan bulan yang sangat istimewa ini secara bersepadu, meriah dan harmoni.
Beliau juga menyeru rakyat Sabah agar sama-sama kibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing seperti rumah, sekolah, bangunan pejabat, kedai, rumah ibadat dan lain-lain sebagai menunjukkan rasa bangga dan cinta terhadap negara.
“Mudah-mudahan dengan penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 ini, Malaysia secara amnya dan Sabah secara khususnya akan menjadi negara dan negeri yang aman damai dan makmur dengan pengamalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam kalangan rakyat,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ