PEMBANTU PENYELIA LADANG MEMILIKI 38.25 GRAM SYABU DICEKUP POLIS

Syabu yang dirampas oleh Polis Lahad Datu pada hari Rabu

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU :  Seorang pembantu penyelia ladang ditangkap oleh polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 38.25 gram  di sini kelmarin.

Saspek seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun ditahan semasa menaiki sebuah motosikal di simpang masuk kawasan perindustrian Layung, Jalan Tengah Nipah lebih kurang jam 5.45 petang, kata Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor.

Polis menemui satu paket plastik berisi empat paket kecil berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu yang bernilai RM5,738 hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap saspek, tambah Nasri.

Saspek dibawa ke Balai Polis Lahad Datu dan ditahan lanjut untuk siasatan dibawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kata beliau lagi.

Menurut Nasri , saringan ujian air kencing juga mendapati saspek positif dadah jenis syabu.