KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa jalan raya utama di kawasannya, khususnya di laluan Sandakan-Lahad Datu, selain sekitar Sukau dan Bukit Garam dipinggirkan daripada kerja pembaikan jalan rosak.
Beliau mendakwa ada kerja pembaikan sedang dijalankan di beberapa laluan utama, selain pembinaan di Lebuhraya Pan Borneo, namun tiada kerja pembaikan kelihatan dibuat di laluan utama dalam kawasannya.
“Saya ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri Sabah, khususnya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, mengenai keadaan jalan raya di beberapa kawasan di negeri ini.
“Saya lihat ada kerja-kerja membaik pulih jalan-jalan berlubang sedang dijalankan di pelbagai tempat, termasuklah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Namun begitu, berbeza di jalan-jalan utama di kawasan saya, khususnya di sekitar Bukit Garam, Sukau dan laluan utama dari Sandakan ke Lahad Datu yang melalui kawasan Kinabatangan, langsung tidak diberikan perhatian.
“Hingga ke hari ini, tiada sebarang tanda bahawa kerja-kerja baik pulih atau penyelenggaraan akan dijalankan. Jalan raya di kawasan ini sangat rosak, berlubang-lubang dan membahayakan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua UMNO Sabah itu berkata, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur politik kepartian dalam pengagihan kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan.
“Adakah kawasan saya sengaja disisihkan hanya kerana perbezaan politik? Ini tidak sepatutnya berlaku. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat, bukan berdasarkan siapa wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Saya ingin menegaskan bahawa tanggungjawab membaiki dan menyelenggara jalan raya terletak pada Kerajaan Negeri melalui agensi yang bertanggungjawab iaitu JKR Negeri Sabah.
“Jalan raya yang rosak bukan hanya menyusahkan rakyat, malah boleh mencetuskan kemarahan kerana seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap keperluan asas mereka,” katanya.
Beliau memohon dan mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan Kinabatangan, termasuk di kawasan bulatan Pekan Bukit Garam dan kawasan bulatan menuju simpang Sukau, tanpa sebarang diskriminasi politik.
“Jangan jadikan infrastruktur asas seperti jalan raya sebagai senjata politik. Rakyat berhak mendapat kemudahan yang selamat dan sempurna tanpa mengira latar belakang politik kawasan mereka.
“Saya berharap isu ini diberi perhatian serius demi kepentingan rakyat dan pengguna jalan raya di Sabah, khususnya di kawasan saya,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad