Polis tahan wanita mengamuk depan premis perniagaan di Tawau

TAWAU: Polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun selepas dia dipercayai mengamuk di hadapan sebuah premis perniagaan di sekitar bandar ini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang itu, suspek mengamuk dengan memegang sebilah parang dalam keadaan mencurigakan sambil memandu kereta jenis Proton Saga.

Bagaimanapun tindakan pantas anggota rondaan bit dari Balai Polis Tawau berjaya mengekang insiden daripada menjadi lebih buruk apabila suspek ditahan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan terus digerakkan ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi, anggota polis mendapati wanita terbabit sedang memegang sebilah parang dan mereka bertindak pantas menahan suspek serta merampas senjata itu dari tangannya.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek, polis turut menemui senjata kapak yang yang disimpan di dalam bonat kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barangan termasuk senjata dan kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca dan motif sebenar kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Info X