ADUN Labuk PBS sertai Warisan

MILIK WARISAN…Abdul Rahman menyampaikan borang keahlian Warisan kepada Shafie (tengah), disaksikan oleh Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony (4 dari kiri), Setiausaha Agung Warisan Loretto S Padua Jr (2dari kanan) dan Bendahari Agung Warisan Terence Siambun (kanan)

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kehilangan seorang lagi wakil rakyat, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang yang menyertai Part Warisan Sabah (Warisan).

Abdul Rahman adalah wakil rakyat PBS yang kedua meninggalkan parti itu untuk menyertai Warisan, selepasADUN Tandek, Anita Baranting, yang memutuskan untuk menyertai parti itu awal tahun ini.

Bersama Abdul Rahman menyertai Warisan ialah tiga Ketua Cawangan PBS di kawasan Labuk iaitu Nordin Lamsnih, Saharan Marpidi dan Tamiang Saraman.

Yang lain ialah ahli jawatankuasa (AJK) Wanita PBS Labuk, Fency Mirsoh; AJK Pemuda PBS Labuk, Sunny Silva Raja; bekas penolong pegawai daerah Beluran, Jamai Sikansa; AJK UMNO Beluran, Abdul Rahim Diar dan ahli UMNO Beluran, Andaraman Kahar.

Bercakap dalam sidang media khas di sini, semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Haji Apdal berkata, Warisan mengalu-alukan penyertaan Abdul Rahman serta pemimpin PBS dan Umno di DUN Labuk.

“Mereka bersepakat untuk keluar dari parti masing-masing dan kita selaku pimpinan Warisan menerima mereka dengan hati terbuka untuk menyertai perjuangan Warisan.

Shafie, yang juga Presiden Warisan berkata, penyertaan itu membolehkan satu landasan diwujudkan bagi membolehkan Labuk diberikan tumpuan menerusi wakil rakyat sedia ada.

“Dengan penyertaan YB Abdul Rahman, Warisan kini mempunyai 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Usaha kita adalah ingin menyatukan rakyat Sabah…bukan sahaja membangunkan negeri ini tetapi juga untuk menyatukan pelbagai kaum, agama dan bangsa seterusnya fokus kepada pembangunan Sabah dapat dijayakan,” katanya.

Shafie berkata, penyertaan Abdul Rahman ke dalam Warisan adalah tanpa bersyarat sebaliknya secara sukarela untuk bersama-sama kerajaan Sabah hari ini membangunkan negeri ini.

Katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kepada wakil rakyat lain untuk menyertai Warisan tetapi ianya perlu ditapis terlebih dahulu.

“Kalau kita rasa mereka ada pengalaman dan berkeupayaan diterima rakyat maka kita terima dalam

memperjuangkan kepentingan Sabah secara keseluruhan.

“Kita meneliti terdahulu dan bukannya suka-suka hati terima,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, tujuannya menyertai Warisan adalah bagi memastikan dua daerah di Labuk khususnya Telupid dan Beluran mendapat pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, hasrat untuk menyertai Warisan sudah disampaikan kepada pimpinan PBS dan mereka harus menerima kenyataan berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberikan peluang kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk menyertai Warisan.

“Kemasukan ini tidak mempunyai syarat tetapi hanya ikhlas dari kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *