BERSATU SABAH PASTIKAN KERJASAMA DENGAN KERAJAAN NEGERI DIPERKUKUH

SANDAKAN : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan memastikan kerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah diperkukuhkan demi pembangunan penduduk negeri.

Ketua Penerangannya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata Bersatu Sabah bersedia menjadi jambatan bagi kerajaan pusat mengadakan bekerjasama dengan kerajaan negeri, dalam memperhebatkan pembangunan Sabah, khususnya dalam aspek ekonomi negeri.

“Masalah pembangunan Sabah bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga dari segi ekonominya, yang telah mendorong ramai rakyat dari Sabah, terutamanya golongan muda berhijrah ke luar Sabah untuk mencari pekerjaan,” kata beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Batu Sapi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Bahagian itu di sini kelmarin.

Beliau berkata Sabah mempunyai kelebihan dari segi tanahnya yang subur dan luas untuk pertanian yang boleh diceburi oleh golongan muda negeri, namun ramai golongan muda nampak tidak tertarik dengan bidang pertanian.Khairul Firdaus berkata sehubungan itu satu usaha untuk mempromosikan pertanian sebagai kerjaya yang memberi pulangan lumayan perlu diperhebatkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *