Agensi di bawah KUSKOP bantu usahawan terjejas banjir di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi di bawahnya mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan terjejas akibat banjir di Sabah dan Sarawak.

Menerusi satu kenyataan di Putrajaya, kementerian itu berkata inisiatif berkenaan bagi meringankan beban dihadapi usahawan akibat premis perniagaan terjejas, kerosakan stok barangan atau kediaman akibat banjir.

Katanya, antara agensi di bawah KUSKOP yang tampil membantu ialah TEKUN Nasional menerusi penyediaan moratorium hingga tiga tiga bulan.

“Ia bagi memberikan kelonggaran kewangan kepada usahawan yang terjejas untuk membayar balik pembiayaan akibat banjir.

“Selain itu, mereka juga dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan dan membuat penjadualan semula pembayaran pembiayaan,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan akibat banjir juga boleh memohon pembiayaan bertindih (overlapping) untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas.

“Bantuan dalam bentuk suntikan modal atau pembiayaan tambahan boleh digunakan oleh usahawan untuk memulih atau meningkatkan operasi perniagaan mereka selepas kejadian banjir.

“Seramai 702 orang usahawan TEKUN dari Sabah dan Sarawak didapati terjejas banjir dengan anggaran kerugian mencecah RM3.2 juta,” katanya.

Sementara itu, Bank Rakyat pula menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan untuk tempoh sehingga enam bulan sepanjang tempoh pembiayaan.

Antara produk yang ditawarkan menerusi kemudahan itu, katanya ialah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pajak Gadai-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Kad Kredit-i.

Dalam pada itu, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) juga menawarkan bantuan banjir berbentuk moratorium tiga hingga enam bulan untuk bayaran ansuran bulanan tertakluk kepada permohonan dan kelulusan pengurusan.

Selain itu, katanya atas dasar keprihatinan agensi KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyumbangkan bantuan kepada anggota koperasi yang terjejas berupa Bantuan Bakul Makanan dan peralatan elektrik di Sarawak (Serian dan Miri) bernilai RM15,000, manakala RM10,000 bagi anggota koperasi di Sabah.

Katanya, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) turut menyumbangkan sebanyak 100 Bakul Makanan untuk anggota koperasi yang terjejas di Kota Belud, Lahad Datu, Serian dan Bintulu.

“Usahawan dan koperasi yang terjejas banjir digalakkan untuk menghubungi pejabat cawangan agensi–agensi di bawah KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif banjir yang ditawarkan,” katanya. – Info X