Agong solat Jumaat di Masjid Al-Iman

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman, Kemensah Heights, Ampang.

Seri Paduka yang berangkat tiba pada kira-kira 1.10 tengah hari disambut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Datuk Abdul Hamid Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Haris Kasim.

Sultan Abdullah kemudiannya menyertai jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Hikmah di Sebalik Infak (memberi sumbangan)’, yang disampaikan imam masjid berkenaan, Mohd Sanusi Idris.

Selesai solat Jumaat, Sultan Abdullah bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat meninggalkan masjid.

Mohd Sanusi dalam khutbahnya antara lain menyentuh mengenai pentingnya golongan berharta mengeluarkan sebahagian harta mereka bagi keperluan zakat, wakaf, sedekah serta keperluan masyarakat.

Beliau berkata umat Islam perlu yakin bahawa menyumbangkan harta tidak akan menyebabkan harta menjadi kurang, sebaliknya akan bertambah.

— BERNAMA

[ad_2]