TUARAN: Kerajaan negeri mahu setiap Ahli Majlis Daerah (AMD) melaksanakan peranan aktif dan berintegriti dalam menyokong dasar pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata AMD bukan sekadar penyambung suara rakyat tetapi perlu menjadi agen pelaksanaan yang berkesan kepada inisiatif kerajaan, khususnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“AMD perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, lengkap dengan ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.
“Ini penting untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyampaikan bantuan serta program pembangunan kepada rakyat dengan cekap dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran Tahun 2025-2027 di Shangri-La Rasa Ria Resort, dekat sini, pada Khamis.

Katanya, keberhasilan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ bergantung kepada komitmen semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD.
Jelasnya, AMD perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam menyebarluaskan maklumat dasar, inisiatif dan bantuan kerajaan hingga ke peringkat akar umbi.
Hajiji turut menyenaraikan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di Tuaran, termasuk naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan tempatan.
“Sebesar manapun peruntukan pembangunan, ia tidak akan memberi makna tanpa penyampaian yang cekap.
“Ahli Majlis perlu turun padang, melihat sendiri isu-isu rakyat dan bertindak dengan penuh integriti, ikhlas dan telus,” katanya.
Beliau turut menyeru semua AMD supaya memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran dan memastikan setiap dasar serta program kerajaan difahami dan diterima oleh masyarakat.
Katanya, pelantikan AMD Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), mewakili suara empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
Hajiji berkata, kepelbagaian itu diyakini sebagai kekuatan dalam merangka dasar dan menangani keperluan rakyat secara menyeluruh.
“Saya yakin dengan iltizam yang tinggi dan semangat kerja berpasukan, AMD mampu menggalas amanah ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Tuaran,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?