Ahli Parlimen DAP kritik menteri ‘hilang ke luar negara’ ketika krisis makanan

PETALING JAYA, 27 Mei — Seorang ahli Parlimen DAP mengkritik tindakan beberapa menteri yang mengadakan lawatan kerja ke luar negara di tengah-tengah kemelut kenaikan mendadak harga makanan yang dihadapi rakyat.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, Kerajaan kurang kesegeraan dalam menangani isu ini, dan memberi amaran negara mungkin berdepan isu sekuriti makanan lebih serius dalam masa terdekat.

“Mana menteri-menteri yang sepatutnya menggubal dasar untuk menangani isu yang kita hadapi ini? Rakyat Malaysia teruk terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, ditambah pula dengan kenaikan harga bahan makanan asas baru-baru ini.

“Menteri seolah-olah sibuk mengutamakan lawatan ‘kerja’ ke luar negara berbanding menangani isu di tanah air sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, Putrajaya seharusnya bersikap proaktif dalam memaklumkan rakyat berhubung langkah yang akan diambil untuk menangani isu tersebut.

Beliau menggesa kerajaan tidak sekadar memberi “jawapan templat”, sebaliknya tampil dengan perancangan konkrit.

“Dengan krisis makanan global semakin dekat, seorang anggota Jemaah Menteri harus dilantik sebagai jurucakap tunggal yang berperanan memaklumkan negara berhubung langkah seterusnya dalam menangani isu itu.

“Menteri tersebut juga harus mengetuai pasukan petugas peringkat tinggi antara kementerian mengenai sekuriti makanan di negara kita.

“Malaysia berjaya menangani wabak Covid-19 menerusi pasukan petugas khas, jadi wajar langkah serupa diambil untuk menangani krisis makanan,” katanya.

Data Jabatan Perangkaan menunjukkan rakyat kini perlu membayar lebih untuk mengisi perut, dengan harga 89.1% daripada keseluruhan bahan makanan meningkat pada April.

Ini membawa kepada peningkatan inflasi sebanyak 4.1% bagi makanan dan minuman pada bulan lalu berbanding bulan sama tahun lepas.

Bagi mengelakkan kekurangan bekalan dalam negara, Putrajaya menghentikan eksport ayam mulai 1 Jun ini, manakala permit import (AP) bagi ayam dan gandum dimansuhkan.

Kerajaan turut memansuhkan syarat AP bagi pengimportan pelbagai bahan makanan, kecuali beras.