BN – PN berfikiran kolot tidak dapat lihat penyelesaian pemeliharaan alam sekitar

Oleh: Cyn J.

KOTA KINABALU, 27 Mei – Pembinaan lebuh raya baharu bagi menangani kesesakan berlaku di bandar tidak lagi menjadi pilihan di Negara maju.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, Malaysia dipimpin ahli politik BN – PN yang berfikiran kolot masih tidak dapat melihat penyelesaian pemeliharaan alam sekitar dan merendahkan pencemaran karbon di negara ini.

Katanya, Malaysia perlu beralih kepada sistem pengangkutan awam yang maju serta pintar seperti melalui rangkaian terowong bawah tanah bagi mengurangkan jaringan lebuh raya.

“Kerajaan dalam hal ini perlu membina sistem kereta api dan jalan raya transit bawah tanah yang pintar kerana ia akan mengurangkan kos pengambilan tanah, mempunyai sifar perobohan hartanah, mengurangkan peralihan struktur dan utiliti sedia ada serta mengurangkan pencemaran semasa pembinaannya.

“Kerajaan juga perlu menyediakan bas awam yang lebih kerap dan menggalakkan kesedaran orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam yang akan mengurangkan kesan karbon. Jadikan mereka ini seiring (dan hidup) bersama sistem pengangkutan transit massa bawah tanah,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan konsep pembangunan yang lebih terancang ke atas bandar baharu.

Beliau berkata bandar baharu perlu dibina di kawasan yang jauh daripada bandar raya sedia dan sesetengah industri serta syarikat komersial sedia ada perlu digalakkan untuk berhijrah ke kawasan baharu bagi mengelakkan kesesakan berlanjutan.

“Perancangan baharu perlu untuk menggalakkan kawasan bandar agar mengurangkan beban di pusat. Ini bermakna mempunyai pandangan jauh dan wawasan untuk membangunkan bandar dan kawasan perumahan baharu yang terancang dengan baik.

“Perlu disediakan insentif mobiliti untuk kedua-dua penduduk, syarikat komersial dan perindustrian untuk menggalakkan mereka keluar dari pusat tersebut,” tambahnya lagi.

Maria menegaskan, sekiranya kerajaan dan pihak pemaju hartanah boleh melakukan empat (4) perkara berkenaan, maka rakyat akan mempunyai persekitaran yang lebih sihat, kurang karbon serta alam sekitar yang mampan untuk masa kini dan akan datang.