AHLI PARLIMEN TUARAN HANTAR USUL PEMANSUHAN JABATAN HAL EHWAL KHAS (JASA)

Walaupun Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam ucapan penggulungan Bajet 2021 di peringkat Dasar bagi kementeriannya telah mencadangkan beberapa perubahan khususnya bagi butiran mengenai perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) namun beliau tidak berganjak untuk memotong sepenuhnya peruntukan yang dicadangkan untuk jabatan tersebut.

Menjangkakan status quo sekalipun setelah pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia bahawa peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan dikurangkan, saya telah menghantarkan satu usul pada pagi hari semalam di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Bahawa jumlah sebanyak RM1,242,464,900 untuk maksud B.47 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam jadual kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (D.R. 16/2020) hendaklah dikurangkan sebanyak RM81,500,000 iaitu daripada peruntukan di bawah butiran 050000 (Kod Program/Aktiviti No. 050100 – Perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 (Kertas Perintah 26 Tahun 2020).

Langkah ini saya ambil untuk mempastikan agar, JASA atau apa pun nanti jenama Agensi tersebut, hendaklah dimansuhkan sepenuhnya .

Saya berharap Speaker Dewan Rakyat menerima dan membenarkan saya untuk membentangkan Usul tersebut semasa Perbahasan Bajet 2021 diperingkat Jawatankuasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Usul tersebut sudah saya hantar pada pagi semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *