BANTUAN KASIH UNTUK ERNI

Kejadian yang menimpa adik Erni mendapat perhatian daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Big Heart Libaran di Sandakan.

Menurut Dr. Peter Jr Naintin, adik Erni kini menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) setelah terlibat dalam kemalangan motorsikal sejak setahun yang lalu.

“Kami berkesempatan untuk memberikan bantuan kasih kepada adik Erni di Rancangan Lubuh Sungai (Sg) Manila.

“Ianya hasil pungutan derma yang kami perolehi daripada rakan-rakan yang prihatin terhadap keluarga Erni yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sandakan,” katanya.

Dr. Peter yang juga Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran berkata demikian dalam satu hantaran facebook beliau, baru-baru ini.

Menurut beliau, bantuan kasih NGO Big Heart Libaran kepada Erni hanya dapat bertahan untuk satu hingga dua bulan sahaja.

“Kami difahamkan bahawa keluarga ini memerlukan bantuan 6-8 tin susu nutrisi (Enercal) dan 90-100 lampin pakai buang (Tena) setiap bulan, dimana kos boleh mencapai sehingga RM800 sebulan.

“Bantuan daripada Pejabat Kebajikan hanya sekitar RM350 sebulan sahaja. Pada masa yang sama, ayah Erni juga tidak dapat bekerja kuat kerana mengalami penyakit jantung yang memerlukan rawatan lanjutan juga,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan rakan-rakan facebook atau sesiapa sahaja yang bermurah hati untuk sama-sama membantu adik Erni sekeluarga. -https://beritasabah.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *