TUARAN: Lori 10 tan hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu dan dua kenderaan lain selepas cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti secara mengejut di hadapannya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari tadi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, menyebabkan kerosakan pada tiga kenderaan namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, lori berkenaan membawa muatan batu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Ranau.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas lori cuba mengelak Perodua Myvi yang berhenti secara tiba-tiba di hadapan.
“Akibatnya, lori berkenaan melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum merempuh Perodua Alza yang diletakkan di seberang jalan bertentangan arah,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Menurutnya, tiang lampu yang tumbang itu turut menghempap sebuah lagi kenderaan yang di parkir berhampiran lokasi sama.
Ketika kejadian, katanya, tiada sesiapa berada dalam kedua-dua kenderaan yang terjejas, dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Lori dikatakan cuba mengelak kereta Perodua Myvi yang telah berhenti secara mengejut di hadapan lori.
“Beberapa individu telah dirakam percakapan, manakala ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif,” katanya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan.
Sehubungan itu, Noraidin berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika memandu di jalan raya dan patuhi undang-undang serta peraturan jalan raya yang ditetapkan. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ