Ahli UPKO kutip derma sesama ahli, ringankan bebanan Yapat

Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Begitulah perumpamaan yang sesuai terhadap semangat bantu-membantu dalam kalangan Ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam meringankan beban seorang penghuni rumah PPRT di Kampung Tomis Lama.

Mereka memberi sumbangan ikhlas bagi membantu Yapat Dusin, 51 tahun yang mempunyai seorang Anak Kurang Upaya (OKU) serta 6 anak yang masih bersekolah.

Penyelaras Program Kebajikan Sikinor Gunu dan Nikson Dauni berkata, pemilihan penerima sumbangan berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak sekolah dan maklumat penduduk kampung.

“Kami berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga Yapat,” katanya.

Antara sumbangan yang diberikan ialah keperluan barangan dapur, pakaian, dua buah telepon bimbit dan sebuah wifi untuk keperluan anak-anak belajar di rumah.

Sumbangan itu disampaikan di rumah Yapat pada Ahad lalu oleh Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.