Alamak, katil COVID-19 Hospital Tawau mau penuh sudah

Kapasiti 150 buah katil untuk pesakit COVID-19 di Hospital Tawau hampir penuh dan penggunaannya ditahap maksima berikutan kenaikan kadar jangkitan di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Dr Azman Ibrahim berkata ketika ini ramai pesakit COVID-19 memerlukan bantuan pernafasan berbanding Oktober tahun lalu semasa Hospital Medan dibuka di sini.

“Bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) memang hampir penuh, penggunaannya sekarang sudah mencecah 90 peratus.

Bagaimanapun, pihak hospital sudah mengubah suai sedikit wad lain untuk dijadikan seperti bilik ICU bagi menampung pesakit sekiranya terdapat keperluan mendesak,”katanya

Katanya, setelah bilik ICU sudah penuh, kami akan menempatkan mereka di tingkat dua dan empat sebab kami sudah siapkan empat katil untuk ICU di setiap tingkat tersebut.

Dr Azman berkata, sekiranya keadaan semakin membimbangkan dan hospital tidak dapat menampung pesakit COVID-19, pihaknya akan mencadangkan untuk pembukaan semula Hospital Medan.

“Pada masa ini, kami sangat berjaga-jaga, jika semua ini berlaku, pihak hospital akan memaklumkan kepada pihak kerajaan melalui saluran tertentu untuk pembukaan semula Hospital Medan,”katanya

Dalam perkembangan lain, Hospital Tawau juga dalam keadaan bersiap sedia berikutan wujudnya Varian Afrika Selatan B1.351 di negara ini.

Dr Azman berkata, Hospital Tawau mengambil langkah berjaga-jaga termasuk kelengkapan perubatan dan keselamatan pasukan perubatan.

“Kami memang sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan yang berlaku, namun ketika ini Hopsital Tawau masih seperti biasa,”katanya

Menurutnya, masyarakat Tawau diminta untuk sentiasa berwaspada dan selalu menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit samada COVID-19 ataupun varian baharu ini.

“Kita sudah tahu negeri Kelantan sudah ada yang dijangkiti, jadi kita mesti waspada supaya varian baharu itu tidak masuk ke Sabah,”katanya

Terdahulu, Kelantan mengesan kehadiran Varian Afrika Selatan B.1.351 di negeri itu pada Ahad lalu dan sebanyak 10 kes direkodkan daripada kluster Bunut Sarang Burung yang berhubung rapat dengan kluster Jalan Lima di Selangor. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *