Parah dirempuh motorsikal, warga emas maut ketika dirawat, kejadian di Tawau

Seorang lelaki warga emas yang terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Dunlop, di sini meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Tawau, semalam

Chang Yun Kong,78, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dirempuh sebuah motorsikal ketika melintas jalan secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian kemalangan berlaku kiri-kira jam 5.30 petang kelmarin.

“Penunggang motorsikal terbabit dari pusat bandar menghala ke bulatan JCI sebelum melanggar mangsa di hadapan lampu isyarat di lokasi tersebut.

“Mangsa melintas jalan secara tiba-tiba walaupun lampu hijau menyala menyebabkan penunggang motorsikal tidak dapat mengelak dan melanggar warga emas itu,”katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, susulan kemalangan itu, penunggang dan mangsa terjatuh sebelum sama-sama terherat beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, manakala penunggang motorsikal cedera di bahagian lutut dan kaki.

“Kedua-dua mereka di bawa ke Hospital Tawau dan mangsa menerima rawatan di Unit Kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.40 pagi semalam,”katanya

Peter berkata, setakat ini belum ada waris mangsa yang tampil untuk membuat laporan polis.

“Polis masih mengesan waris mangsa dan meminta orang ramai yang mengetahui keluarga mangsa supaya segera memberi makluman berkenaan kejadian ini.

“Polis masih meneruskan penyiasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *