Alhusin Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah

KOTA KINABALU: Asisten Komisioner Polis (ACP), Alhusin Halil dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah berkuat kuasa, hari ini.

Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ini mengambil alih tugas daripada ACP Zulkepli Hashim yang bertukar keluar bagi menjawat jawatan sama di IPK Kuala Lumpur.

Majlis serah terima tugas antara Alhusin dan Zulkepli di Auditorium IPK Sabah, di sini, hari ini disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Jauteh dalam ucapannya berkata syabas dan tahniah kepada Alhusin yang akan mengemudi JSJN Sabah seterusnya memberikan komitmen yang tinggi dalam menggalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Semoga dengan perlantikan ini akan memberi semangat baru untuk lebih komited, ikhlas dan progresif bagi memacu PDRM khususnya Kontinjen Sabah ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Zulkepli sepanjang menjawat jawatan ini dan di atas pencapaian dan kecemerlangan sepanjang perkhidmatan beliau dalam usaha membanteras jenayah narkotik di Kontinjen Sabah termasuk melumpuhkan beberapa geng yang berprofil tinggil dan menarik perhatian.

Mengulas lanjut, Jauteh menegaskan kepada semua pegawai serta anggotanya yang hadir, agar melaksanakan tugas secara profesional dan memberikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik (Good Governance).

“Haruslah memberi penekanan terhadap Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal serta kecergasan fizikal dalam kalangan semua peringkat pegawai PDRM selaras dengan pematuhan terhadap standard BMI yang ditetapkan di bawah BMI 28.

“Pematuhan terhadap standard BMI yang ditetapkan adalah antara syarat wajib bagi pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, penerimaan pingat, serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) demi memastikan semua warga PDRM berada dalam keadaan cergas, cekap fizikal serta sihat untuk menjalankan sebarang tugas selain menjadikan warga PDRM sentiasa kelihatan segak ketika berpakaian seragam,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Datuk Azmi Abd Rahim. – Info X