Amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah – MetMalaysia

Kota Kinabalu : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sabah, dengan hujan lebat dijangka berlaku selama dua hari bermula Khamis ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan dijangka terjejas ialah Pantai Barat melibatkan Ranau dan Kota Belud dan Sandakan yang melibatkan Telupid, Kinabatangan dan Beluran selain Kudat.

“Amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko banjir dan gangguan perjalanan,” menurut kenyataan itu.

Turut mengalami cuaca sama adalah di negeri Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) selain Johor (Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Manakala di Sarawak, cuaca hujan berterusan adalah melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu sehingga Khamis ini.

MetMalaysia menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat terkini di laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, dan media sosial rasmi MetMalaysia. – SABAH MEDIA