Ambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab beli ventilator rosak, kata Ahli Parlimen

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas pembelian 93 ventilator rosak yang menelan belanja kerajaan sebanyak RM13 juta.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, berkata kecuaian mereka yang terlibat dalam perolehan itu bukan sahaja membazir dana awam tetapi menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan.

Semalam, Laporan Ketua Audit 2021 Siri 2 mendedahkan hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh Pharmaniaga Logistics untuk Kementerian Kesihatan dari 2020 hingga 2022 boleh digunakan.

Kerajaan tidak boleh menuntut RM13 juta yang dibelanjakan terhadap peralatan rosak itu kerana tiada perjanjian ditandatangani dengan Pharmaniaga, kerana perolehan dilakukan bawah “tatacara perolehan darurat”.

Dalam kenyataan hari ini, Yii berkata perolehan itu gagal mencapai objektifnya ketika banyak hospital bergelut untuk memastikan pesakit Covid-19 terus hidup.

“Tindakan mesti diambil dan pihak yang terbabit (untuk perolehan) mesti bertanggungjawab,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa dokumentasi yang betul tidak disediakan, terutama apabila berjuta-juta dana awam terlibat.

“Bukankah itu akan memberikan perlindungan undang-undang yang lebih baik untuk Kementerian Kesihatan dan pihak lain yang terlibat terhadap liabiliti atau insiden seperti ini?” kata Yii yang sebelum ini mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.