PETALING JAYA: Putrajaya akan terus mengatur inisiatif bagi mengawal tekanan inflasi dan mengurangkan beban rakyat akibat kos sara hidup tinggi menerusi Belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kenyataannya itu susulan agensi penarafan kredit Fitch Ratings mengesahkan penarafan Malaysia pada “BBB+” dengan tinjauan yang stabil untuk 2023.
“Pengesahan ini turut mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia, serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan pada 24 Februari, akan memacu pembaharuan dalam pemulihan ekonomi negara, menggalakkan pelaburan, dan memperbaiki infrastruktur awam.
Fitch menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyederhana kepada 4.0% pada 2023, dan 4.8% pada 2024. Pengurangan defisit pula dijangka dilakukan secara beransur, dan defisit kerajaan pusat menurun pada purata sekitar 4.5% daripada KDNK pada 2023 hingga 2025.
Anwar berkata, kerajaan berazam memastikan kedudukan fiskal kerajaan terus diperkukuh melalui penyatuan defisit fiskal sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi ketika tempoh mencabar ini.
Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan perpaduan sedar betapa perlunya bersedia menghadapi persekitaran ekonomi global yang lebih mencabar pada 2023. Katanya, ekonomi dunia dijangka merosot kepada 2.9% pada 2023.
More Stories
FPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK Sandakan
UMS terima kunjungan penanda aras EKSA dari PHKK, UMPSA
MSN 2023 Peringkat Negeri Sabah diadakan pada 24 – 26 Ogos 2023 di UMS