SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung meminta rakyat mencari dan mencipta peluang baharu dalam kesukaran akibat pandemic Covid-19.
Seruan itu selepas Ming Fung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat melawat Hotel Four Points By Sheraton Sandakan yang bakal menutup operasinya.

Sejak Rabu lalu, sepucuk surat mengenai penutupan operasi hotel itu tular di media sosial dengan difahamkan sekurang-kurangnya 150 kakitangan hilang pekerjaan.
Ming Fung yang melawat hotel itu semalam berkata, pandemik berkenaan menjejaskan pelbagai rancangan dan kehidupan rakyat dengan banyak industri ditutup, manakala penduduk terpaksa mengikat perut berdepan kesukaran.

“Pepatah Cina ada mengatakan, ‘rencana tidak dapat mengikuti perubahan’. Ia petikan sesuai ketika kita berjuang untuk memerangi pandemik ini kerana perkara berubah setiap saat.
“Ada sekelompok orang lain mencari peluang perniagaan ketika krisis dan menganggap krisis ini sebagai langkah pemulihan untuk mencipta peluang baharu perniagaan,” katanya.
Ming Fung turut melahirkan rasa sedih dengan penutupan operasi hotel itu.
Sebagai penduduk Sandakan, katanya, dia menyaksikan perkembangan serta perubahan kawasan pusat bandar Sandakan sejak zaman kanak-kanak.
“Dari perobohan bangunan pasar basah dan kering yang lama dan penambakan tapak tanah hingga pembinaan bangunan komersial termasuk Pasar Umum Sandakan, Harbour Square, Harbour Mall dan Hotel Four Points By Sheraton Sandakan,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ