TOKYO: Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tiba di Tokyo pada Jumaat untuk lawatan kerja lima hari, akan mengadakan mesyuarat bersama rakan sejawat Fumio Kishida, di pejabat beliau kira-kira 11 pagi hari ini.
Jadual pergerakan dikongsikan Pejabat Perdana Menteri dengan media Malaysia di sini menunjukkan jadual padat menanti Anwar, bermula dengan mesyuarat pre-council bersama delegasi Malaysia pada 10 pagi di Hotel Imperial Tokyo, sebelum bertemu Kishida.
Selepas mesyuarat dua hala itu, Anwar dan Kishida dijadualkan menyaksikan pertukaran Nota Pelaksanaan bagi Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan dan Memorandum Kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas, antara kedua-dua negara.
Anwar dan delegasi akan bergerak semula ke hotel sama pada 12.30 tengah hari, untuk makan tengah hari bersama Pengerusi Kehormat Sasakawa Peace Foundation Tan Sri Sasakawa Yohei.
Selepas itu pada 2.30 petang, beliau akan mengadakan pertemuan bersama eksekutif utama tiga syarikat multinasional Jepun iaitu Rohm Wako, Toshiba dan Mitsui & Co. Ia diikuti mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri di Jepun pada 4.15 petang.
Anwar bersama isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail seterusnya dijadualkan menghadiri majlis makan malam pada 7 malam dihoskan oleh Kishida dan isterinya Yuko di Geihinkan, State Guesthouse Akasaka Palace.
Pada majlis makan malam itu, Anwar akan turut disertai dua menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Zafrul Aziz.
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar