Anwar sahut cabaran debat dengan Najib

KOTA KINABALU, 4 Mac – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Presiden Pakatan Harapan itu berkata, demi negara dan rakyat, beliau bersedia untuk berdepan dan berdebat pada bila-bila masa dengan Najib.

“Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini.

Kenyataan beliau turut disertakan dengan petikan serangkap pantun:

Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang;
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.

Sebelum ini, perbalahan mengenai gesaan Najib menyelamatkan Sapura Energy Berhad hanya melibatkan Ahli Parlimen Pekan dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Hal tersebut seterusnya membawa kepada cabaran Rafizi kepada Najib untuk berdebat mengenai perkara berkenaan.

Semalam, Najib telah menerima cabaran debat daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun mengatakan bahawa perdebatan tersebut perlulah disertai oleh Anwar.

“Jika Anwar tidak mahu menyertai debat itu, Rafizi boleh berdebat dengan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil,” jelas Najib.

Susulan respon Najib, Anwar menegaskan bahawa sikapnya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun yang lalu apabila pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada Najib.

“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut,” katanya.