APMM RAMPAS BAHAN LETUPAN BOM IKAN

SEMPORNA: Botol kaca berisi baja amonia yang dipercayai untuk membuat bom ikan berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, sepasukan anggota APMM yang sedang menjalankan rondaan Ops Pluto Timur mengesan dua lelaki menaiki bot pam dalam keadaan mencurigakan di Pulau Timbun Mata.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, suspek terbabit walau bagaimanapun bertindak terjun ke laut sebelum menghilangkan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu botol kaca lutsinar dipercayai berisi baja amonia yang digunakan secara berleluasa di Perairan Semporna bagi tujuan menangkap ikan dengan bahan letupan.

“Pasukan kita turut merampas sebuah bot pam berwarna biru yang tiada mempunyai nombor pendaftaran, dua buah enjin yang tidak diketahui jenamanya dan 50 kilogram ikan campur yang disyaki ditangkap dengan cara letupan dengan anggaran keseluruhan bernilai RM3,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(b) dan 26(1)(c) Akta Perikanan Malaysia 1985 iaitu telah melakukan kesalahan kerana memiliki dan menangkap ikan dengan cara yang salah iaitu dengan menggunakan bahan letupan serta memiliki bahan letupan.

“Jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi enam juta ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.