UMS PERUNTUK LEBIH RM1 JUTA BANTU PELAJAR

KHAMIS, 10 DISEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan kira-kira RM1.25 juta bantuan pelan data dan peranti bagi membantu pelajar prasiswazah dalam golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memberitahu, peruntukkan tersebut melibatkan RM 255,420.00 Bantuan Pelan Data yang bakal memanfaatkan 1,928 pelajar.

Sementara itu, UMS turut memperuntukkan RM1 juta bagi bantuan Komputer Riba kepada 714 pelajar B40 yang layak. Jumlah ini merangkumi 619 pelajar dari Sabah, 37 pelajar Sarawak, dan 58 pelajar dari Semenanjung Malaysia. Untuk rekod peruntukan ini diperoleh dari Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.

“Bagi bantuan pelan data, pelajar telah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu.”

“Bantuan ini merupakan antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal sebagai komitmen pihak UMS dalam menitikberatkan soal kebajikan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Penyerahan Pelan Data Dan Komputer Riba Bagi Tahun 2020 yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS merangkap pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Hajah Nurlaila Said.

Menurut Taufiq, bagi komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba berjumlah RM1,400.00 yang akan diserahkan terus kepada pelajar melalui prinsipal selepas pelajar melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.

Taufiq menambah, selain itu UMS turut telah membelanjakan RM20,000 bagi bantuan Food Bank kepada pelajar. Inisiatif ini turut mendapat sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakan strategik UMS.

Faedah lain yang diterima berupa pengecualian yuran kolej kediaman dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,991,592.00 melibatkan 8,792 pelajar.

Selain itu melalui inisiatif UMS Prihatin, pelajar menerima RM51 pemulangan yuran pengajian bagi Semester 1, sesi Akademik 2020/2021.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan serba sedikit dapat meringankan beban yang benar-benar memerlukan,” ujarTaufiq.

Pada majlis tersebut, Taufiq kemudiannya bersama-sama Nurlaila dan pegawai-pegawai utama UMS menyempurnakan acara penyerahan bantuan komputer riba dan pelan data kepada 12 orang pelajar.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Bendahari UMS, Zallifah Shadan; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin; dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kamisah Husin.