Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau terus meningkatkan kawalan keselamatan di perairan daerah ini , khususnya menjelang musim perayaan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata kawalan tersebut termasuk di kawasan sungai-sungai yang menjadi laluan tikus bagi mengekang pergerakan cubaan kemasukan bot-bot dari negara jiran.
“Kedudukan Tawau yang berhampiran dengan negara jiran menyebabkan ia menjadi tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk pendatang tanpa izin (PTI).
“Itu antara cabaran yang terpaksa dihadapi anggota APMM di sini walaupun dalam bulan Ramadan seperti sekarang,”katanya
Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam operasi kawalan keselamatan di sempadan perairan dan pemeriksaan bot-bot di perairan di sini, kelmarin
Menurutnya, aktiviti jenayah rentas sempadan ini semakin aktif berlaku terutamanya menjelang musim perayaan berikutan ziarah dan balik kampung berlaku.
“Penugasan pada waktu malam merupakan cabaran utama anggota Maritim kerana jarak penglihatan yang sangat terhad.
“Melalui risikan yang diterima kegiatan pemerdagangan manusia bergerak aktif pada waktu malam terutamanya selepas berbuka puasa dengan menggunakan bot berkelajuan tinggi,”katanya
Siva berkata, pihaknya turut komited dalam menyebarkan maklumat dan memberi peringatan kepada komuniti maritim untuk mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.
“Hal ini kerana, komuniti maritim juga terdedah kepada wabak ini, selain boleh menjadi agen penyebaran kepada orang lain,”katanya
Dalam pada itu, katanya, pemeriksaan juga dilakukan bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk pemakaian jaket keselamatan.
“Bot-bot yang menggunakan perairan daerah ini juga dinasihatkan supaya beroperasi mengikut masa yang ditetapkan iaitu 6 pagi hingga 6 petang kerana kawasan ini masih tertakluk di bawah Perintah Berkurung,”katanya
Untuk rekod, sebanyak 1,500 pemeriksaan yang dilakukan Zon Maritim Tawau membabitkan bot dan kapal sepanjang tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 29 tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 kerana beroperasi di luar masa ditetapkan.
“Sebanyak lapan aset daripada pelbagai agensi beroperasi selama 24 jam setiap hari menerusi koordinasi Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi mengawal perairan di daerah ini,”katanya
Terdahulu, Siva juga turut menyampaikan cenderahati kepada pengguna maritim serta berkesempatan meluangkan masa bersama-sama anggota Maritim dan media berbuka puasa di atas kapal KM Pintar. – Utusan Borneo

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ