Kumpulan peguam Katolik lapor polis, video ketua biskop ‘kena ubah’

Sebuah kumpulan peguam Katholik membuat laporan polis berhubung satu klip video mengandungi beberapa bahagian ucapan Ketua Biskop, Julian Leow, pada 2014 yang didakwa diubah secara sengaja.

Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS) mahu polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenal pasti pelaku yang menyunting dan menyebarkan klip video itu di media sosial.

Laporan itu dibuat Presiden CLS, Godfrey Fernandez, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.

Bekas presidennya, Francis Pereira yang menemani Fernandez semalam berkata, suntingan video itu dilakukan dengan sengaja dan berniat jahat untuk memberi tafsiran terpesong berhubung ucapan sebenar ketua biskop itu.

“Ketua biskop tidak pernah menghina mana-mana agama.”

Rabu lalu, CLS mengecam video berniat “jahat” itu, yang dimuat naik ke laman dikenali sebagai “Hud-Hud Crew”. Dalam video tersebut, Leow didakwa mempunyai rancangan 25 tahun terhadap umat Islam.

Catatan bertajuk “Rahsia Besar: Rakaman Perancangan 25 Tahun Archbishop Katolik Kuala Lumpur Untuk Rebus Orang Islam Seperti Merebus Katak”, mendakwa Leow menggunakan analogi rebus katak untuk menggambarkan rancangannya memberi tekanan kepada umat Islam di negara ini.

Ia turut mendakwa ketua biskop itu “mengakui” isu penggunaan kalimah “Allah” sebahagian daripada rancangan 25 tahun terbabit.

Catatan itu turut mendakwa rakaman berkenaan diserahkan seorang ahli gereja yang mahu “rancangan 25 tahun” itu disekat.

Sebelum ini, Fernandez dilaporkan berkata, video itu memetik ucapan Leow secara luar konteks dengan tujuan mengancam keamanan dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *