Atlet karate Sabah berlatih semula di ‘dojo’ mulai esok

KOTA KINABALU: Pusat latihan karate atau ‘dojo’ yang bertempat di Kompleks Sukan Likas, di sini, bakal dibuka semula mulai esok.

Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin, berkata permohonan mereka itu, sebelum ini, telah mendapat persetujuan daripada Lembaga Sukan Sabah (LSS)

“Kami belum menerima surat rasmi daripada mereka (LSS), namun secara lisan mereka telah bersetuju dengan permohonan kami untuk membuka semula tempat latihan bermula 1 Julai (esok).

“Saya telah melawat pusat latihan itu baru-baru ini dan saya lihat ianya tiada masalah kerana dewan (badminton) jauh daripada pusat latihan dan kawasan latihan juga telah disanitasi hari ini,” katanya.

Julian berkata, dengan pembukaan semula ‘dojo’ itu, ia membolehkan atlet karate Sukan Malaysia (Sukma) Sabah menyambung latihan mereka.

”Sebenarnya latihan skuad Sukma telah bermula dua minggu lalu namun hanya secara ‘outdoor’ dengan fokus utama untuk meningkatkan tahap kecergasan mereka.

”Apabila dojo dibuka nanti, barulah kami boleh fokus aspek lain dalam latihan,” katanya lagi.

Julan turut memberi jaminan sesi latihan mereka nanti akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

”Kedua-dua iaitu Kata dan Kumite akan terlibat dalam sesi latihan namun ianya tidak akan ada kontak fizikal antara mereka.

”Kami juga akan memastikan penjarakan sosial dipatuhi serta mengambil suhu badan semua atlet sebelum dibenarkan berlatih,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *