KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman sepatutnya berterima kasih selepas biasiswa anaknya diluluskan kerajaan negeri.
Beliau berkata, tindakan Azis yang bukan saja tidak berterima kasih, malah menghentam kerajaan pimpinannya adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Itu Aziz Jamman, patut dia terima kasih. Kita bagi anak dia biasiswa, janganlah terima kasih pun tidak.
“Tujuan kita baik, untuk memberi khidmat, membantu semua rakyat kita yang memerlukan.
“Tapi, dia bukan terima kasih, tapi hentam lagi. Inilah sikap dia orang,” katanya ditemui selepas merasmikan World Engineering, Science And Technology Congress (ESTCON) 2024 di SICC, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas rungutan golongan B40 yang sukar mendapat kelulusan biasiswa untuk anak mereka.
Mereka mempertikaikan pemberian biasiswa kepada anak golongan berkemampuan seperti bekas timbalan menteri dan pemimpin politik.
Ahad lalu, Hajiji mendedahkan kerajaan negeri meluluskan permohonan biasiswa anak Aziz selepas bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu dan isterinya bertemu Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan biasiswa anaknya.
Hajiji menyebut perkara itu sebagai bukti keadilan kerajaan negeri pimpinannya yang tidak mengambil kira latar belakang politik, kaum dan agama dalam membantu rakyat. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis