Orang ramai perlu sentiasa peka dengan aspek keselamatan elektrik di kediaman masing-masing.
Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Pantai Barat Sabah Jefrey Nuri berkata, pendawaian elektrik perlu dilaksanakan berpandukan kepada piawaian teknikal yang telah ditetapkan oleh ST.
Katanya, bagi mengelakkan kes-kes kemalangan, elektrik Peranti Arus Baki (PAB) harus sentiasa diuji sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan ia berfungsi memutuskan litar sekiranya terjadi kebocoran arus.
“Masyarakat perlu mengetahui kepentingan komponen Peranti Arus Baki (PAB) dalam sistem pendawaian elektrik yang mampu melindungi pengguna daripada renjatan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus atau litar pintas,” katanya ketika dimajlis penutupan Program TouchPoint 2020 di Matunggong di sini, semalam.
Dalam program ini, kira-kira 20 buah rumah sekitar daerah Matunggong telah dilakukan pemeriksaan dan pembaikan sistem pendawaian elektrik.
Jefrey berkata, kajian yang dijalankan oleh ST mendapati kebanyakan kes kemalangan dan kebakaran yang berlaku berpunca daripada kecuaian pengguna yang tidak mengambil berat soal pendawaian elektrik yang selamat dan alat perlindungan yang sempurna.
“Justeru, ST mengambil inisiatif untuk menjayakan program-program kesedaran dan kemasyarakatan bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan PAB.
“Ini kerana PAB memerlukan pengujian secara berkala bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan dapat melindungi nyawa. ST meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memeriksa dan menambahbaik sistem pendawaian elektrik bagi 20 buah rumah lagi di sekitar Matunggong, Kota Marudu melalui program yang dinamakan sebagai Touchpoint,” katanya. – Utusan Borneo

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ