Blok kedai terbakar di Kinabatangan awal pagi tadi

Satu blok bangunan yang melibatkan 12 buah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Paris 3, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Penolong Penguasa Bomba Azlan Shah  Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran blok kedai di kampung berkenaan jam 12.54 pagi.

Beliau berkata sebuah jentera bomba diiringi sebuah utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 56 kilometer dari balai bomba.

“Sepasukan anggota telah ke lokasi itu terdiri dari 15 orang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hairul Jamal,” katanya.

Azlan berkata setiba di lokasi kebakaran mendapati sebuah blok bangunan melibatkan 12 kedai aneka jenis separuh kekal telah musnah terbakar.

“Turut terbakar bersama adalah sebuah kereta jenis Perodua Kancil,” katanya.

Beliau memberitahu operasi pemadaman oleh pihaknya menggunakan sumber air tertutup dan tiada liputan GIRN atau telefon persendirian dalam kawasan itu.

Azlan berkata tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *