Balai Bomba Putatan Bakal Siap Selewat-lewatnya Tahun 2020

Uda (kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Awang Saifudin (kanan) sambil disaksikan Awang Husaini (tengah).

 

PUTATAN: Balai Bomba di daerah Putatan bakal siap dibina selewat-lewatnya pada tahun 2020.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Uda Sulai berkata, setakat ini kerja-kerja pembinaan struktur tapak sedang berjalan dengan lancar.

“Balai bomba yang dibina di sebuah kawasan lapang bersebelahan Taman Ceriamas ini akan memberi kemudahan kepada penduduk terutama dalam menangani urusan kecemasan dan kebakaran di daerah tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas berkata, selain balai bomba, daerah ini juga memerlukan sebuah balai polis dan hospital bagi menampung keperluan dan kepadatan penduduk di daerah tersebut.

“Setakat ini, daerah Putatan memiliki sebuah Klinik Kesihatan namun kemudahan ini kini amat sesak terutama kemudahan tempat letak kereta dan pembinaan bangunan hospital di sebuah kawasan yang baharu amat diperlukan bagi menampung keperluan penduduk pada masa akan datang,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Daerah Putatan 2018 di Dewan Sri Putatan, di sini, pagi Selasa.

Kira-kira 1,000 orang hadir menjayakan majlis tersebut dengan pelbagai pengisian antaranya persembahan tarian kebudayaan daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan (S.K) Petagas, sketsa dan deklamasi sajak kenegaraan daripada para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (S.M.K) Putatan selain gerai pameran daripada agensi-agensi persekutuan dan negeri.

Pada majlis tersebut, Uda turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan, pengetua dan guru besar sekitar daerah Putatan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Awang Sahari; Pegawai Daerah Putatan, Ag. Abd. Ghani Pengiran Yusoff; Penolong Pegawai Daerah Putatan, Hassan Mahali; Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Harris Ibrahim serta Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Awang Saifudin Jumat. – Penerangan