BANDUAN SEDIAKAN PPE UNTUK ‘FRONTLINER’

SANDAKAN: Penghuni Penjara Sandakan tampil mencurah khidmat dengan menyediakan 2,000 kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan pasukan ‘frontliner’ di Hospital Duchess of Kent, di sini.

Seramai 10 penghuni dan dua tenaga pengajar terbabit dalam menyediakan kelengkapan itu dan dalam sehari, dianggarkan sebanyak 200 pasang mampu disiapkan.

Pengarah Penjara Sandakan, Kamarul Zaman Ali Zaman, berkata ia adalah khidmat bakti yang dicurahkan banduan kepada masyarakat dan negara.

“Ini juga adalah kerjasama antara agensi kerajaan dalam menghadapi pandemik ini.

“PPE ini dihasilkan dalam pelbagai saiz dan akan diserahkan secara berperingkat,” katanya selepas menyerahkan sejumlah PPE kepada Pengarah Hospital Duchess of Kent, Dr Francis Paul di sini, hari ini./BERITA SABAH