TIGA JUTA FACE MASK UNTUK SABAH TIBA HARI INI

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menerima sebanyak tiga juta helai penutup hidung dan mulut atau face mask daripada kerajaan persekutuan untuk kegunaan isi rumah di seluruh negeri.

Face mask berkenaan itu tiba di Kota Kinabalu selepas diterbangkan khas menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Kuala Lumpur, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam kenyataannya hari ini, berkata pengagihan face mask itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berdasarkan statistik terkini yang dibekalkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Setiap isi rumah akan memperolehi empat helai face mask untuk kegunaan ahli keluarga yang mempunyai simptom seperti batuk, selsema dan demam.

“Kerajaan negeri juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada kerajaan persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana
Negara (NADMA) dan TUDM yang telah menyelaras penerbangan khas ke Sabah bagi tujuan ini.

“Penghargaan juga diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memberi bantuan logistik bagi memastikan kelancaran pengagihan bantuan berkenaan kepada rakyat,” katanya./BERITA SABAH