Kesemua tiga banduan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Arena Tawau, pada Ahad lalu berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kesemua banduan terbabit berjaya ditangkap semula dalam tempoh 72 jam.
“Banduan ketiga Jimnajir Annor,23, berjaya diberkas di Batu 15 Jalan Apas, di sini kira-kira jam 1.30 petang tadi.
“Dengan penahanan tersebut, maka semua banduan yang diburu berjaya ditangkap semula, sekali gus membolehkan Ops Tutup dan Kesan ditamatkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Mereka antara 16 banduan dan tahanan lokap yang ditempatkan di PKRC selepas disahkan positif COVID-19.
Banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan mengumpil jeriji besi pada tandas sebelum melompat pagar Dewan Arena.
Sehubungan itu, polis melancarkan Ops Tutup dan Ops Kesan bagi mengesan ketiga-tiga individu berkenaan.
Selain sekatan jalan raya, kawalan dan pemeriksaan turut dilakukan di sempadan daerah termasuk Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ). – Utusan Borneo

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ