Bangunan kedai lama sebelum Perang Dunia Kedua musnah

PAPAR: Tiga blok bangunan kedai lama jenis kayu dipercayai dibina sebelum Perang Dunia Kedua di pekan Bongawan, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu turut menyebabkan beberapa kenderaan musnah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada 5.38 pagi.

“Baik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati api sedang marak memusnahkan dua blok bangunan rumah kedai dua tingkat jenis tidak kekal.

“Selepas lebih dua jam berusaha memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dikawal pada 7.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba memadam sisa-sisa kebakaran membabitkan bangunan kedai lama di pekan Bongawan, Papar.

Menurutnya, kebakaran membabitkan tiga blok bangunan kedai dua tingkat jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Bangunan pertama membabitkan lapan pintu kedai dan bangunan kedua membabitkan empat pintu kedai manakala bangunan ketiga membabitkan empat pintu kedai.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana mangsa menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya lagi, punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami pemilik kedai masih dalam siasatan

Terdahulu, operasi pemadaman dijalankan seramai 24 anggota dan pegawai dari BBP Kimanis, Papar dan Beaufort. – Info X