TAWAU: Seorang pemandu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes langgar lari yang menyebabkan seorang lelaki parah dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata sebelum itu pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.15 pagi, 7 Jun lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 3.50 pagi ketika mangsa, lelaki berusia 34 tahun, sedang berjoging bersama kumpulan seramai 20 orang dari arah McDonald’s ke Bandar Sri Indah.
“Mangsa berada di hadapan bersama dua rakannya sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna bronze mica yang nombor pendaftarannya belum dikenal pasti.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke dalam parit konkrit di bahu kiri jalan dan mengalami pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, mangsa kini dirawat di Wad Pembedahan Lelaki, Hospital Besar Tawau dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya, susulan maklumat awam, sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Jalan Tanjung Batu, kira-kira jam 4.05 petang tadi.
“Turut disita, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna sama yang dipercayai digunakan semasa kejadian dan semakan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan berkenaan sudah tamat tempoh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan serta Seksyen 52(2) akta sama kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ