Banjir merebak ke Sook, 590 mangsa dipindah

KOTA KINABALU: Mangsa banjir dipindahkan di pedalaman meningkat kepada 590 orang daripada 163 keluarga petang ini selepas Sook turut diisytiharkan dilanda bencana itu hari ini.

Ia menjadikan Nabawan dan Sook terjejas banjir akibat hujan berterusan di kawasan pedalaman sejak beberapa hari lalu memaksa pembukaan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), seramai 199 mangsa daripada 67 keluarga dipindahkan di Sook, manakala seramai 391 mangsa daripada 96 keluarga di Nabawan setakat jam 4 petang tadi.

APM melaksanakan operasi pemindahan mangsa banjir di Sook.

Di Sook, dua PPS dibuka setakat ini iaitu di Dewan Kampung Membulu dan Dewan SK Pekan Keningau II, manakala lima PPS di Nabawan iaitu Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, Dewan Kampung Bahagia, Balai Budaya Kabangawon, Balai Budaya Kampung Sarikan dan Balai Budaya Kampung Saupi.

Setakat ini banjir menjejaskan 30 kampung di Nabawan, manakala dua kampung di Sook. – Info X