Bank Muamalat sasar 450,000 keahlian M-Jannah tahun ini

[ad_1]

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) — Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan pencapaian sebanyak 450,000 keanggotaan pada tahun ini untuk produk M-Jannah yang merupakan perkhidmatan pengurusan jenazah lengkap 24 jam meliputi setiap kawasan di seluruh Malaysia.

Produk bukan kewangan yang berbentuk keahlian ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat pengurusan jenazah dan harta pusaka, Bumijez Sdn. Bhd. (Bumijez) bagi melengkapkan lagi rangkaian ekosistem produk-produk Bank Muamalat selaku institusi perbankan dan kewangan Islam.

“M-Jannah yang merupakan produk kerjasama Bank Muamalat serta Bumijez memberi peluang kepada setiap individu agar dapat melakukan langkah awal bagi meringankan beban waris dan anggota keluarga pada hari berlakunya kematian.

“Kami menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan berbentuk holistik untuk memenuhi segenap aspek keperluan pelanggan dan dalam hal ini, meliputi pengurusan jenazah lengkap,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dalam ucapan pada majlis pelancaran rasmi M-Jannah di Putrajaya hari ini.

Khairul berkata, produk M-Jannah sebenarnya telah ditawarkan di setiap cawangan Bank Muamalat sejak Mac 2018 yang mana pada akhir Januari lepas kira-kira 4,500 keahlian telah diperolehi dan terus meningkat.

Keanggotaan M-Jannah yang bermula pada harga serendah RM59 setahun tidak hanya menyediakan pengurusan jenazah lengkap bernilai RM1,500 malah turut disertakan dengan zikir tahlil, khatam al-Quran dan wang khairat RM1,500 kepada waris.

Pilihan pakej lain yang turut disertakan merangkumi kategori pasangan suami isteri, anak-anak serta warga emas selain manfaat-manfaat tambahan termasuk penyediaan batu nisan, pusara serta khidmat Badal Haji. Pakej ini juga boleh diperbaharui secara tahunan.

Selain itu, bergantung kepada pakej yang dipilih, setiap ahli M-Jannah turut mendapat pelbagai faedah lain termasuk manfaat akibat kemalangan maut (maksimum RM50,000), keilatan kekal atau separa kekal (maksimum RM50,000), tuntutan bil rawatan, tuntutan bil ambulans, elaun hospital, manfaat “Real Reward” serta diskaun 10 peratus untuk bil rawatan di klinik panel yang telah ditetapkan.

Menurut Khairul lagi, pendaftaran untuk keanggotaan M-Jannah boleh dilakukan di setiap 64 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara dan istimewa sempena perasmiannya, potongan diskaun sebanyak 5 peratus diberikan bagi setiap pendaftaran dan pembaharuan yang dilakukan sepanjang tempoh pada Mac 2019.

–BERNAMA



[ad_2]