Bapa tembak bayi perempuan 7 hari, tidak dikaruniakan anak lelaki

ISLAMABAD, 12 Mac — Seorang bapa di Pakistan menembak mati bayi perempuannya yang berusia 7 hari kerana berang tidak dikaruniakan anak lelaki.

Difahamkan, ketika kejadian tersebut berlaku , suspek , Shahzaib Khan, didakwa menuntut isterinya untuk menyerahkan anak mereka, Jannat sebelum membunuhnya dan kemudian melarikan diri.

Kejadian terbabit dilaporkan kepada pihak polis oleh bapa saudara mangsa, Hidayatullah Khan.

Hidayatullah berkata, mengikut laporan Daily Star, suspek bertindak berang selepas mendapat berita bahawa isterinya melahirkan anak perempuan

Dalam pada itu, Hidayatullah menjelaskan bahawa Shahzaib enggan menyambut kelahiran bayi mereka selepas mengetahui jantinanya perempuan dan kejadian terbabit merupakan hari pertama suspek kembali ke rumah selepas isterinya melahirkan.

Sehubungan itu, Hidayatullah mendakwa bahawa semasa kejadian itu, dia cuba menghalang tindakan suspek namun suspek tersebut mengugutnya dengan pistol.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan pada Khamis di bandar Mainwali selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian terbabit, pada 7 Mac lalu.

Menurut Ketua Pertubuhan Kebajikan Edhi, Faisal Edhi, sejak dua tahun lepas lebih daripada 500 bayi mati dibuang di Karachi dan kebanyakannya perempuan.

Hal ini kerana, sesetengah tempat di Pakistan membunuh anak kerana menganggap darjat mereka rendah jika dikaruniakan anak perempuan.