Baru Bian dedahkan Muhyiddin tolak selesai isu kalimah ‘Allah’ luar mahkamah

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian mendakwa Muhyiddin Yassin yang sebelum ini pernah menjawat tugas menteri dalam negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menolak usaha menyelesaikan masalah berkaitan isu kalimah “Allah”, yang sebelum itu menjadi kontroversi, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas menteri kerja raya itu berkata, ini berlaku walaupun pada pertengahan 2019 Kabinet bersetuju isu pengunaan kalimah “Allah” harus diselesaikan di luar mahkamah dan memberi mandat kepada bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

“Pada saat itu, pengajuan sudah diajukan di Mahkamah Tinggi dan hanya perlu menunggu keputusan mahkamah.

“Peguam sudah menunjukkan kepada peguam kanan persekutuan (SFC) yang mewakili kerajaan persekutuan bahawa mereka bersedia menyelesaikan masalah di luar mahkamah atau menyelesaikan kes itu melalui kuasa pentadbiran.

“Kes ini sudah dijelaskan dengan teliti di mahkamah, tetapi keputusan mahkamah sering berolak-alik dan sehingga kini masih ditunggu-tunggu.

“Daim tidak dapat melakukan apa-apa tindakan kerana Jawatankuasa Kabinet yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah tersebut seakan-akan tidak mahu berhubung dengannya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland Lawrence Bill, seorang penganut agama Kristian di Sarawak, untuk menggunakan kalimah itu dalam pendidikan agamanya.

Selepas keputusan itu dibuat, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenai tindakan susulan berhubung isu kalimah “Allah” selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Solusi Sepuluh Titik 2010

Baru berkata, beberapa penyelesaian pentadbiran sudah dicadangkan berdasarkan Solusi Sepuluh Titik 2010 bagi mengubah Arahan Pentadbiran 1986 bertarikh 5 Dis 1986.

Peguam Jill Ireland dan Sidang Injil Sabah (SIB) turut memberitahu SFC bahawa Jabatan Peguam Negara sudah bersetuju dengan cadangan yang dibawa.

“Tetapi (ia) perlu mendapat persetujuan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai oleh perdana menteri sekarang.

“Malangnya, menteri tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan memutuskan untuk membiarkan pengadilan (mahkamah) memberi resolusi,” katanya.

Menurut Baru, Jawatankuasa Khas Menteri turut mengadakan mesyuarat pertama pada akhir Nov 2019, tetapi Muhyiddin tidak hadir ke mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, beberapa idea sudah diusulkan bagi menyelesaikan isu berkenaan, namun tidak dapat diterima dan difahami umum.

“Saya memberi taklimat kepada Kabinet dan meminta mereka untuk memberikan masa kepada saya untuk meneliti perkara tersebut supaya masalah dapat diselesaikan dalam situasi menang-menang.

“Sebelum Jawatankuasa Khas Menteri atau Kabinet membuat keputusan muktamad, kerajaan PH tumbang pada akhir Feb 2020.

“Menteri dalam negeri ketika itu tidak memihak kepada penyelesaian di luar mahkamah dan ingin mahkamah memutuskan dengan alasan yang diketahui oleh dirinya sendiri.

“Setelah mahkamah membuat keputusan, mereka harus menasihati rakyat agar menghormati keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, oleh sebab masalah berkaitan isu penggunaan kalimah “Allah” tidak lagi dikendalikan oleh kerajaan PH dan ditangani oleh KDN di bawah pentadbiran PN, dan jelas tidak ada resolusi dicapai, maka mahkamah wajib memberikan keputusannya.