Gaya Hidup Sihat,Madius Daki Bukit Boudin Bersama Warga Kg Malangang Baru

 

KIULU: Dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, meluangkan masa bersama komuniti di Kampung Malangang Baru untuk mendaki bukit Boudin 2 sabtu ini.

Pada program itu, Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO turut mengambil kesempatan untuk meninjau potensi laluan alternatif selepas jalan raya Kiulu – Tamparuli terputus akibat tanah runtuh.

“Laluan mendaki ini berpotensi untuk tembus ke Kampung Logub, sekaligus memberi pilihan kepada penduduk untuk meneruskan aktiviti ekonomi dan sosial mereka.

“Perjalanan sejauh 3.7 kilometer itu mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke puncak, manakala perjalanan turun ke bawah juga memerlukan masa yang lebih kurang sama,” katanya.

Madius juga telah menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya menempuh bukit dengan pantas dalam kategori kanak-kanak, dewasa, veteran dan terbuka.

“Kegiatan seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga mengeratkan hubungan antara penduduk,” ujar Madius.

Beliau berharap acara ini dapat diteruskan dan menjadi pendorong kepada lebih ramai individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.