Sebuah bot nelayan tempatan ditahan oleh botronda Maritim Negeri Sabah kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa penumpang melebihi kapasiti di 0.41 batu nautika selatan Pulau Sapi, petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, botronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Operasi Sejahtera di sekitar perairan Kota Kinabalu melakukan pemeriksaan keatas bot nelayan yang mencurigakan berikutan muatan yang melebihi kapasiti.
“Pemeriksaan mendapati bot terbabit mempunyai nombor pendaftaran yang sah, namun melakukan kesalahan dengan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.
“Tambahan pula bot itu digunakan membawa seramai 10 orang pemancing warga tempatan termasuk dua kru dan seorang juragan,” katanya dalam kenyataan media yang dilaporkan Sabah360 Online, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) kerana menjadikan bot nelayan sebagai bot membawa pemancing.
“Juragan dan kru bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(F) Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.
“Bot dan kru diserahkan kepada JPDS untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Untuk rekod, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan sebanyak 286 kes dari Januari sehingga Oktober 2021, dimana 133 daripadanya adalah kesalahan dibawah JPDS.
Antara kesalahan-kesalahan JPDS yang direkodkan adalah alat pemadam api tamat tempoh, tidak mempunyai jaket keselamatan, gagal melaporkan pertukaran nakhoda dan kesalahan kecil yang ditetapkan dalam Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Jika didapati bersalah pemilik bot akan dikenakan kompaun oleh JPDS mengikut kesalahan yang dilakukan.
Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di persekitaran perairan Kota Kinabalu ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 atau 999 (MERS).

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ