Beaufort banjir lagi, empat daerah terkesan setakat ini

KOTA KINABALU: Beaufort kembali dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Padas menjadikan empat daerah terkesan akibat bencana itu dengan seramai 875 mangsa daripada 254 keluarga dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.

Setakat ini, seramai 108 mangsa daripada 40 keluarga dari enam kampung yang terjejas dipindahkan ke PPS kekal di Dewan Selagon, Beaufort yang dibuka sejak petang semalam.

Difahamkan, banjir kali ini adalah yang kelima berturut-turut di Beaufort sejak Januari lalu, menjadikan tahun ini antara paling kerap banjir di daerah itu.

Keningau turut dilanda banjir sejak semalam dengan seramai 68 mangsa daripada 18 keluarga di dua kampung dipindah ke Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau (MDK).

Dua daerah iaitu Nabawan dan Sook yang lebih awal dilanda banjir masing-masing masih menempatkan seramai 467 dan 232 mangsa di lapan PPS yang di buka di kedua-dua kawasan.

Setakat ini banjir menjejaskan 30 kampung di Nabawan, manakala dua kampung di Sook. – Info X